Wednesday, January 22, 2014

Q&A 26



 
Isu- Israiliyyat   (m.s. 13)
Unsur Israiliyyat telah dibincangkan oleh para ulama dalam kitab-kitab karangan mereka sama ada secara khusus dalam sebuah kitab atau dibincangkan dalam tajuk tertentu di bawah tajuk Tafsir. Tulisan ini secara ringkas menjelaskan pengertian Israiliyyat, bagaimana kemunculannya, pandangan ulama mengenainya dan kesan Israiliyyat terhadap ajaran Islam.  Apakah yang dimaksudkan dengan Israiliyyat?

Isu - Riwayat Israiliyyat dalam Kitab Tafsir (m.s. 16)
Terdapat beberapa contoh riwayat ataupun kisah Israiliyyat dalam kitab-kitab tafsir yang terkemuka. Walau bagaimanapun, ia tidaklah ‘mencederakan’ kewibawaan kitab-kitab tafsir tersebut. Artikel ini menyebutkan beberapa contoh sahaja daripada beberapa kitab tafsir tersebut. Apakah contoh riwayat Israiliyyat dalam kitab-kitab tafsir?

Isu- Kisah Israiliyyat – Yang Bagaimana Boleh Disebarkan?  (m.s. 18)
Apabila menyebut kalimah Israiliyyat, apa yang tergambar di dalam fikiran kita ialah perkara khurafat, karut-marut, perkara tahyul dan seumpamanya. Namun, dengan adanya perbahasan ini diharap kita dapat berlapang dada dengan mengatakan bukan semua Israiliyyat yang tersebar pada zaman sekarang ditolak. Bahkan dalam pembahagian riwayat Israiliyyat terdapat satu bahagian yang ‘memberi ruang’ kepada kita membuat penilaian terhadap sesebuah riwayat Israiliyyat itu iaitu ‘perkara yang kita tidak boleh membenarkannya dan tidak boleh mendustakannya’. Apa maksud ‘tidak boleh membenarkan dan tidak boleh mendustakan’?

Wahai Rasulullah – Sambut Maulid Menyubur Kecintaan & Iman  (m.s. 6)
Ulama tafsir mengatakan, “rahmatihi” (rahmat-Nya) itu juga termasuk Rasulullah SAW. Kamu (kita) patut gembira dengan Nabi SAW. Antara tanda kita gembira dengan Nabi ialah gembira dengan kelahiran Baginda SAW. Kadang-kadang terdengar orang bertanya, apa hukumnya menyambut Maulid Nabi SAW? Adakah dibenarkan oleh syarak? 

Senyum Pagi – Mengapa Isteri Berleter? (m.s 8)
Suami yang beriman adalah yang berlemah-lembut dan banyak senyum dengan ahli keluarganya. Sesungguhnya Nabi SAW seorang yang sangat berlemah lembut dan bermanis muka dengan para isteri dan ahli keluarganya. Jadi, menyantuni ahli keluarga samalah seperti kita mencontohi peribadi Rasulullah SAW. Orang yang mengikut sunnah Nabi SAW pada akhir zaman ini beroleh pahala jihad. Terlalu banyak pengorbanan seorang isteri dalam menguruskan rumah tangga yang tidak mampu dibuat oleh suami. Jika suami yang berlembut dengan isteri itu dikatakan ‘takut bini’?

Halaqah Ibadah – Sunat Hai’at Dalam Solat (m.s 10)
Rukun dalam solat diumpamakan seperti kepala pada badan. Syarat pula seperti nyawa. Sunat ab‘adh seperti anggota badan dan sunat hai’at seperti rambut dan kuku. Solat tidak terdiri (menjadi solat) melainkan dengan rukun-rukunnya. Solat tidak akan sah jika tidak ada syarat-syaratnya. Sunat ab‘adh pula, jika ditinggalkan kesemuanya atau sebahagian daripadanya, tidak membatalkan solat, tetapi seperti ada kekurangan, maka hendaklah ditampal dengan sujud sahwi. Sunat hai’at pula akan mencantikkan dan melengkapkan solat. Justeru, sunat hai’at tidak seharusnya diambil ringan dan ditinggalkan. Solat akan menjadi lebih sempurna jika semua sunat hai’at dilakukan. Solat akan menjadi lebih sempurna jika semua sunat hai’at dilakukan. Ada berapakah sunat hai’at dalam solat?

Pena Tuan Guru – Jassasah - Binatang Penjaga Dajjal (m.s. 20)
Dajjal ialah seorang manusia daripada keturunan Yahudi, dia bukan jin ataupun spesies makhluk selain manusia. Dia ialah seorang manusia yang ditunda (dilambatkan) ajalnya atau disebut Minal Munzharin. Ia sama seperti Nabi Isa a.s. yang diangkat oleh Allah ke atas langit dan ditunda kematiannya sehingga baginda nantinya akan turun semula ke muka bumi, akan wafat mati dan dikuburkan di Madinah al-Munawwarah. Begitu juga halnya dengan Iblis yang ditangguhkan kematiannya sehingga hari kiamat nanti.  Jika benar Dajjal sudah wujud, di mana tempat tinggalnya sekarang?

Dalil Feqah – Antara Tabarruk, Adab dan Keindahan Akhlak (m.s. 28)
Bertabarruk (mengambil berkat) adalah antara amalan para ulama besar Ahlus Sunnah wal Jamaah. Ia tidak sedikit pun menyalahi akidah kerana dalam bertabarruk, yang diiktikadkan secara jazam (yakin) ialah hanya Allah yang boleh mendatangkan manfaat dan mudarat. Oleh itu, orang yang bertabarruk dengan sesuatu yang mulia umpamanya, sebenarnya memohon kepada Allah melalui kemuliaan dan keberkatan sesuatu yang mulia itu. Tulisan kali ini dihidangkan dalam bentuk cerita yang berkaitan dengan perkara tabarruk antara dua ulama besar di Masjidil Haram, Makkah al-Mukarramah. Apakah ceritanya dan siapakah dua orang ulama besar yang dimaksudkan itu?

Jalan Keluar – Wujudkah Istilah Matlamat Menghalalkan Cara Dalam Islam? (m.s. 34)
Kita biasa mendengar ungkapan “Matlamat tidak menghalalkan cara”. Ungkapan yang dilafazkan oleh ramai orang dan dalam banyak situasi, tetapi kebanyakan mereka langsung tidak mengetahui sumber ungkapan tersebut serta tidak pula mengetahui bahawa kaedah itu juga ada limitasinya. Sebenarnya, bukan semua matlamat tidak menghalalkan cara. Dan bukan semua matlamat boleh menghalalkan cara. Hakikatnya, frasa atau teori atau apa sahaja yang ingin anda namakan ia, ia sebenarnya bukanlah sebuah kaedah di dalam Islam atau fiqh Islam. Perlu difahami bahawa untuk digelar sebuah ‘kaedah’ sama ada Usuliyyah atau Fiqhiyyah dalam Islam, mestilah bersumberkan dalil-dalil al-Quran dan al-Hadis yang pelbagai dan berulang-ulang maksud dan ertinya, hingga boleh dikenal pasti ia adalah adalah satu ‘kaedah teras’ dalam hukum-hakam feqah.  Apa sebenarnya sumber dan asal-usul teori ini?

Sudut Pandang – Alasan Golongan yang Menolak Sifat 20 (m.s 46)
Ada sebahagian orang yang menentang pengajian “Sifat 20” yang sudah berpuluh tahun bahkan beratus tahun dipelajari oleh umat Islam. Mereka menentang pengajian tersebut dengan berbagai-bagai alasan yang sangat lemah sekali. Mereka menentangnya lantaran mengikuti hawa nafsu serta bertaklid buta dengan sebahagian guru yang menentang amalan tersebut. Apa alasan-alasan yang biasanya diberikan oleh golongan yang menolak Sifat 20?
  
Rahsia Amal – Doa Bagi Yang Takut Mati (m.s 48)
Takut akan kematian (takut mati) ialah ketakutan yang dimiliki oleh orang yang tidak bersedia bertemu Tuhan. Mereka berasa tidak tenang dan gundah terhadap kurangnya amal baik dan perilaku dosa yang dilakukan. Sekiranya boleh hidup tanpa mati; itulah yang mereka mahu.
Berbeza dengan orang soleh yang senantiasa bersedia bertemu al-Khaliq. Mereka tidak terbeban dengan datangnya kematian kerana yakin dengan janji Allah SWT kepada orang yang beramal soleh. Beramal soleh dalam erti kata melakukan yang makruf dan mencegah kemungkaran. Maksiat dijauhkan. Apa yang mereka harapkan ialah redha Allah dan ditempatkan di dalam jannah. Di dalam kitab Abwab al-Faraj, ada satu doa bagi orang yang takut mati. Apakah doa tersebut?

Kuliah Oxford –  Mengapa Jerung Halal Dimakan? (m.s. 50)
Secara etimologi, nama kaum Nabi Muhammad SAW iaitu ‘Quraisy" berasal daripada nama moyang Baginda iaitu Fihr yang turut dikenali dengan Quraisy bin Malik bin al-Nadr bin Kinanah. Ia merupakan isim tasghir atau kata yang menunjukkan makna kecil bagi kalimah ‘qirsh’ (jerung). Justeru, Quraisy dinamakan sempena haiwan pemangsa ini. Al-Mushamrij al-Humayri, seorang penyair silam zaman jahiliyah yang turut menyanjung ‘Quraisy’ sebagai satu nama yang diambil sempena nama seekor haiwan. Melalui syairnya yang terkenal; Kenapa Quraisy digelar Quraisy, beliau menghubungkan nama itu dengan perkataan asalnya iaitu nama bagi haiwan laut pemangsa ini. Bagaimana ikan jerung boleh dikategorikan halal?

Bahaya Syiah – Kitab-kitab Suci Syiah  (m.s. 58)
Pada keluaran yang lalu, telah disebutkan bahawa golongan Syiah percaya kepada 9 kitab suci, yang mengikut kepercayaan penganut Syiah kitab-kitab tersebut menyamai al-Quran. Kitab-kitab ini diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Kemudian Baginda mengkhususkannya kepada Sayidina Ali. Tiga daripada 9 judul kitab tersebut telah pun kita jelaskan iaitu kitab al-Jami’ah, Sahifah an-Namus dan Sahifah al-Abithah. Apa lagi kitab-kitab suci yang menjadi pegangan Syiah dan jika benar kitab ini hasil daripada ucapan Rasulullah SAW dan tulisan tangan Ali, kenapa ia dirahsiakan daripada umat?

Disiplin Ilmu –   Penulisan Ilmiah Dalam Keilmuwan Islam (m.s. 76)
Karyawan Arab ada menyebut: “Tidak aku baca apa yang aku tulis semalam kecuali aku akan persoalkan; kenapa aku tulis ini dan tidak itu? Mengapa aku susun sebegini dan tidak sebegitu …?” Kenyataan ini antara lain menunjukkan bahawa manusia biasanya tidak akan berpuas hati dengan apa yang pernah dihasilkannya. Manusia bukanlah makhluk yang sempurna. Sikap menilai untuk kedua kalinya, sama ada oleh penulis sendiri mahupun oleh pembaca lain  dilihat antara faktor kenapa para karyawan ulung pada zaman kegemilangan Islam berjaya menghasilkan karya-karya agung yang tidak ditelan zaman. Karya-karya ilmuwan sebegini biasanya terus memberikan pencerahan semasa tentang pelbagai cabang ilmu dan menjawab pelbagai isu umat Islam. Oleh itu, apakah tanggungjawab ilmiah dalam berkarya ini?

Anjung al-Atrak – Menutup Aurat – Bagaimanakah Kehendak Syariat?  (m.s. 94)
Kita telah perkatakan tentang kedudukan bersanding menurut pandangan Islam; sama ada dibolehkan atau tidak. Semoga dengan jawapan dan pencerahan yang diberikan, dapat membantu sidang pembaca serta masyarakat Islam memahami berkenaan hukum bersanding.
Apa-apa juga hukum yang telah diputuskan oleh syarak, terimalah dengan lapang dada serta mematuhinya. Jika tidak, apa sahaja persoalan semasa dalam kehidupan umat Islam akan terus diulang-ulang tanya hanya disebabkan jawapan atau pencerahan tersebut tidak memuaskan hati kita. Satu perkara lagi berkait dengan persoalan bersanding ialah tentang berpakaian. Islam telah menetapkan etika tertentu dalam bab berpakaian. Antara syarat-syarat pakaian bagi wanita dan lelaki berdasarkan kepada tiga syarat. Apakah syarat-syarat tersebut dan jika seseorang itu mengabaikan salah satu daripada ketiga-tiga syarat ini, adakah dikira dia tidak menutup aurat?

Halaqah Tasawuf  – Cabaran dalam Bertasawuf (m.s. 98)
Bagi mereka yang mendalami ilmu tasawuf dan seterusnya mengikuti jalan ahli tasawuf atau dipanggil tarekat, mereka sudah pasti menghadapi cabaran yang amat hebat. Cabaran pertama berupa cabaran dalaman, manakala cabaran kedua berupa cabaran luaran. Apakah cabaran dalaman bagi seorang yang mendalami ilmu tasawuf? 

No comments:

Post a Comment