Monday, October 14, 2013

Q&A bil 23


Isu- Makanan Boleh Jadi Ubat? (m.s. 7)
Orang yang hendak makan kerana Allah, walaupun cuma ada ikan goreng dan sayur, di dalam hatinya berbisik kesyukuran. Sebaliknya orang yang makan kerana lapar, sambil suap mata melilau tengok lauk lain. Tengok kalau-kalau ada yang belum dikeluarkan lagi. Siapa yang makan kerana Allah, dia bukan sekadar dapat kenyang tetapi dapat bermacam-macam. Makanan itu dapat menumbuhkan daging yang sangat baik. Adakah menjaga adab ketika makan atau berkatnya makan cara beradab yang dapat memberikan kebaikan untuk kesihatan?

Isu- Makan Perlu Atau Mahu (m.s 10)
Malaysia menduduki tempat pertama di kalangan negara ASEAN dan tempat keenam di kalangan negara Asia Pasifik dari segi paling ramai rakyatnya mengalami obesiti. Fenomena ini sangat membimbangkan kerana hampir 17 juta rakyat di negara ini mengalami kegemukan. Apakah puncanya?

Isu- Bina Aura Positif Ketika Memasak (m.s.14)
Tidak mengapa ruang tamu rumah kita kosong daripada hiasan perabot yang mahal-mahal asalkan dapur rumah kita ceria dengan pelbagai kelengkapan untuk penyediaan hidangan istimewa oleh air tangan si ibu. Apakah perkara-perkara yang perlu diambil perhatian agar dapur adalah gelanggang penyatu kasih sayang keluarga?

Paradigma – Warisan Nenek Moyang  (m.s. 32)
Adakah amalan dan pekerjaan agama yang dilakukan kita sekarang ini yang melibatkan urusan tahlil, talqin dan sebagainya sebagai ‘amalan warisan nenek moyang’ yang tidak ada bezanya dengan perbuatan orang bukan Islam yang mewarisi amalan nenek moyang mereka?

Hadis Akhir Zaman – Siapa Pencari Dunia di Makkah? (m.s. 38)
Pada akhir zaman ini ramai orang yang menyalahgunakan tujuan ibadah yang sepatutnya hanya untuk mencari keredhaan Allah SWT. Apabila kepentingan mereka bertentangan dengan hukum syarak, maka mereka berani mengubah hukum Allah dan menyembunyikan kebenaran. Siapakah golongan yang dimaksudkan dalam hadis ini yang menjadikan agama sebagai alat untuk mendapat keuntungan dunia sehingga sanggup menjual agama?

Halaqah Tasawuf – Bolehkah Bertawasul? (m.s. 40)
Berdasarkan dalil-dalil, para ulama khususnya daripada kalangan ulama sufi berpandangan bahawa tawasul ini merupakan sunnah kerana anjurannya yang disebut dalam al-Quran seperti di atas. Manakala selain ulama sufi, mereka berbeza pandangan berhubung dengan permasalahan tawasul ini. Adakah tawasul ini dibenarkan sedangkan ada yang berpandangan amalan ini boleh membawa kepada syirik?

Mimbar – Kota Tarim yang Kaya (m.s.42)
Tarim merupakan kota yang cukup mahsyur dan mulia. Apabila disebut tentang ilmu dan ulama Tarim sering kali kita dengar:  "Lorong-lorong Tarim adalah guru bagi sesiapa yang tidak berguru.” Kemuliaannya bermula dari zaman Sayidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. apabila beliau mengangkat tangan dan berdoa kepada Allah untuk Tarim. Apakah doa oleh Sayidina Abu Bakar as-siddiq itu yang sering disebut-sebut sehingga kini?

Bahaya Syiah – Tangani Isu Syiah Secara Bijaksana (m.s. 46)
Isu Syiah masih hangat diperkatakan. Pihak berkuasa agama negeri sehingga di peringkat kerajaan telah dan sedang mengambil usaha untuk mengawal fahaman Syiah daripada tersebar luas. Pendekatan yang bijaksana dan holistik daripada semua pihak adalah sangat perlu untuk menanganinya. Terdapatkah kaedah yang boleh digunakan dalam menangani isu Syiah yang sedang diperkatakan kini?

Disiplin Ilmu – Realiti Institusi Keilmuan (m.s.52)
Kita dapati terdapat pelbagai mutu dan kualiti keilmuan, ada yang ‘Islami’ dan ada yang bukan ‘Islami’, ada yang duniawi dan materialistik dan ada yang ukhrawi dan rohani. Kesemua mutu dan kualiti keilmuan ini boleh dicari dan ditemui, semuanya terhenti kepada kita untuk memilih bentuk yang bagaimana yang kita cenderungi. Institusi keilmuan adalah antara institusi terpenting yang banyak menyumbang kepada ketinggian dan kemuliaan sesuatu tamadun ummah. Jika kualiti keilmuan yang didokong adalah kualiti ‘jahili’, maka adakah kualiti ummah juga adalah kualiti ‘jahili’?

Anjung al-Atrak – Benci Maksiat ... Bukan Si Pembuat Maksiat (m.s. 68 )
Kisah seorang ahli ibadah pada zaman Bani Israil yang tidak pernah melakukan maksiat selama hampir 500 tahun. Hebatnya dia, sehingga apabila berjalan di bawah terik matahari awan akan melindunginya. Namun disebabkan sedikit rasa takabur di dalam hati ketika bertemu dengan seorang ahli maksiat maka nikmat tersebut berpindah kepada si lelaki ahli maksiat itu. Cuba fikirkan sedalam mungkin. Jika tidak punya bau busuk, bagaimana kita boleh membezakan ini wangi dan itu busuk? Jadi, mengapa perlu ada dosa?

Relaksasi – Didik Anak Melalui Gaya Pembelajaran? (m.s. 70)
Setiap anak dilahirkan bersama potensi untuk belajar yang dibekalkan oleh Allah SWT. Cuma gaya pembelajaran mereka berbeza. Perbezaan gaya pembelajaran dalam memahami sesuatu itu adalah perkara yang menarik untuk direnungkan dan dibincangkan; hikmah daripada kebesaran Allah Yang Maha Bijaksana.  Berapakah gaya pembelajaran utama yang ada dalam mendidik anak-anak dan mengapakah ibu bapa perlu memahami gaya belajar anak-anak mereka?

Syeikh Nuruddin Jawab – Bolehkah Menderma Organ? (m.s. 77)
Terdapat khilaf di kalangan ulama iaitu boleh dan juga haram. Atas dasar apakah hukum tersebut dikeluarkan?

Merentas Misi – Islam dan Tamadun (m.s.79)
Adakah Islam sesuai dengan zaman tamadun dan kemajuan sains dan teknologi? Zaman roket dan bom hidrogen, zaman bangunan pencakar langit dan wayang garnbar tiga dimensi? Islam suatu agama yang statik yang tidak dapat berganding dengan perkembangan tamadun yang moden dan pasti dibuang jika kita ingin maju seperti bangsa-bangsa yang lain. Oleh itu apakah jawapan terbaik bagi menjelaskan kekeliruan masyarakat moden Barat ini?

Halaqah Firman – Siapa Yang Mati Sebelum Mati? (m.s. 84)
Di dalam al-Quran terdapat dua perkataan yang hampir sama sebutan, lafaz dan hurufnya. Cuma berbeza barisnya yang menyebabkan berbeza sebutannya. Namun berdasarkan kaedah ‘tiada perkataan seerti atau sinonim dalam al-Quran’, maka berbeza satu huruf atau berbezanya baris bacaan menyebabkan berbezanya maksud atau makna al-Quran. Justeru ia juga dikira sebahagian daripada mukjizat al-Quran.

Kuliah Oxford – Kucup Ibu Jari Sewaktu Azan; Adakah Berasas? (m.s. 90)
Dalam fikah, perbincangan mengenai mencium dua ibu jari dan menyapunya ke mata (taqbil al-unbulatayn wa mash al-'aynayn) biasanya didapati pada penghujung Bab Azan. Perbuatan tertentu yang dilakukan sewaktu azan, terutamanya amalan mencium ibu jari dan menyapunya ke mata ialah satu amalan yang diketahui umum dalam mazhab Syafi‘i.
Benarkah ada riwayat yang menyatakan bahawa hadis ini adalah tidak sahih (dhaif)?

Fiqh Annissa – Bolehkah Makan Sembelihan Ahli Kitab? (m.s. 98)
Siapakah Ahli Kitab? Mereka ialah Yahudi dan Nasrani sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran. Allah SWT yang menamakan mereka Ahli Kitab kerana mereka memiliki kitab yang diturunkan oleh Allah kepada Bani Israil, iaitu Taurat kepada Nabi Musa dan Injil kepada Nabi Isa alaihimassalam. Mereka juga terdiri daripada orang-orang kafir dan musyrik sama dengan penyembah berhala, penyembah bintang dan cakrawala serta lain-lain. Namun mereka diberikan hukum yang khusus disebabkan mereka pernah menerima kitab samawi daripada nabi-nabi mereka yang terdahulu iaitu kitab Taurat dan kitab Injil. Apakah antara  hukum khusus yang diberikan kepada mereka itu?

Misteri Alam Jin – Batu Serai Wangi; Harta Milik Jin? (m.s. 102)
Batu serai ialah batu pelbagai warna yang diperoleh dari rumpun serai wangi yang berbunga. Pernahkah anda melihat batu serai wangi? Dari manakah asal usul batu serai wangi? Ataupun pernah mendengar namanya? Bukan soal saya meyakini batu itu mempunyai kelebihannya tertentu, tetapi isu jin akan mengganggu fikiran saya. Apa kena-mengenanya dengan jin?

Tweet Dr. Asmadi – Derma, Sumbangan dan Sedekah (m.s. 108)

Istilah-istilah derma, sumbangan, sedekah merupakan perkataan yang sering digunakan untuk menunjukkan pemberian seseorang. Kamus Dewan mentakrifkan derma sebagai bantuan yang berupa wang (kepada perkumpulan dan lain-lain), pemberian yang ikhlas, sedekah (kepada orang miskin dan lain-lain). Sumbangan pula difahami sebagai sesuatu yang diberikan sebagai bantuan (kepada keramaian dan lain-lain), atau bantuan pertolongan yang diberikan. Istilah hibah, hadiah, sedekah dan wakaf merupakan istilah yang saling berhubung kait. Bagaimana pembahagian yang dibuat oleh ulama mazhab Syafi’i berhubung perkara ini?

No comments:

Post a Comment