Thursday, June 13, 2013

Q&A Bil. 19: Mulakan Harimu dengan AL-QURAN.

HANGAT & TERBAHARU!!

PASTIKAN MAJALAH INI BERADA DALAM GENGGAMAN ANDA!!!


Isu 1 – Kenapa  Anak Malas Mengaji? (m.s. 10)
Anak-anak tidak boleh direnggangkan dengan al-Quran. Di dalam jiwa mereka perlu dipupuk rasa kasih, minat dan seronok membaca al-Quran. Namun realitinya, ia tidak semudah itu. Terlalu banyak bahan bacaan lain yang kebanyakannya tidak pun membina minda menjadi kegemaran mereka. Ditambah pula dengan pengaruh medium pandang dengar di zaman teknologi maklumat yang berubah dengan pantas ketika ini selain daripada TV, internet, komputer dan sebagainya. Ikuti temubual majalah Q&A bersama Ustaz Muhammad bin Musa al-Hafiz as-Sembilani, Pengetua Maahad Tahfiz Al-Quran Yayasan Al-Huffaz (www.tahuffaz@logspot.com), Parit Panjang, Kupang, Kedah dalam berkongsi ilmu mengenai masalah anak-anak yang tidak gemar mengaji al-Quran. Beliau telah berjinak dalam dunia menghafaz al-Quran sejak berusia tujuh tahun dan telah menyertai pertandingan menghafaz al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa sejak tahun 1996 hingga 2009.

Isu 2 - Membaca @ Mendengar – Yang Mana Lebih Afdal? (m.s. 13)
Disebutkan bahawa pahala satu huruf al-Quran menyamai 10 kebaikan. Orang yang mahir membacanya akan bersama para malaikat. Orang yang bersungguh-sungguh akan mendapat dua kali ganda. Al-Quran akan memberi syafaat kepada pembacanya. Allah akan memakaikan mereka dengan mahkota dan pakaian kemuliaan. Darjat mereka akan diangkat di dalam syurga dengan kadar yang mereka baca. Malaikat turun untuk mendengar orang membacanya. Semua ini dan selainnya adalah berdasarkan nas-nas yang sahih dan hasan. Dalam bab mendengar al-Quran, nas-nas yang menggalakkannya sangat sedikit. Bagaimana pula dengan hadis tentang mendengar al-Quran?

Isu 3 – Apakah Pengaduan al-Quran Kepada ALLAH?  (m.s. 15)
Sesungguhnya seseorang mukmin itu hendaklah sentiasa berinteraksi dengan Al-Quran, hatinya, telinganya dan akalnya sentiasa menadah Al-Quran di samping istiqamah (konsisten) membacanya. Hijab atau penghalang yang menyebabkan seseorang itu jauh daripada al-Quran ialah kelalaian, mengikut hawa nafsu dan takbur. Justeru, bacalah al-Quran dengan membuka mata, telinga dan hati di samping membacanya dengan tartil (tajwid yang betul) serta berusaha memahami kata-kata Allah SWT. Semoga dengan itu Allah akan membuka hikmah dan rahsia-rahsia al-Quran kepada sesiapa yang membacanya dan menghayatinya.
Isu 4 – Membaca Al-Quran dengan Memakai Kasut Bernajis. (m.s. 18)
Bersama dalam bicara ilmu bersama Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Negara Brunei berhubung dengan persoalan-persoalan umum yang berkait dengan al-Quran.

Senyum Pagi –  Menilai Mimpi.  (m.s. 6)
Sekiranya bermimpi bertemu ibu ayah dalam berpakaian serba putih dan wajah mereka tersenyum bermakna ibu bapa berada di alam barzakh dalam keadaan tenang dan gembira.

Aku & Hadis – Adakah Hadis Tentang Akal Palsu? (m.s. 20)
Memang ada ulama pengkritik hadis seperti Abu Ja‘far al-‘Uqayli, Ibn Hibban, Umar bin Badr al-Mawsili dan lain-lain menyatakan bahawa tidak ada satu hadis pun yang mencapai taraf sahih mengenai akal. Persoalannya, benarkah semua hadis tentang akal itu palsu?

Hadis Akhir Zaman -  Siapakah 12 Orang Khalifah Yang Disebut Rasullulah? (m.s 24)
Khalifah merupakan pemerintah atau ketua negara yang benar-benar meneruskan agenda pemerintahan berdasarkan ajaran Nabi SAW iaitu dengan melaksanakan perintah Allah dan Rasul-Nya. Dalam sebuah hadis disebutkan bahawa akan berlaku sebuah sistem pemerintahan khalifah seramai 12 orang selepas kewafatan Baginda SAW. Terdapat ramai pemerintah Islam pada zaman Bani Umayyah, Abbasiah dan Utsmaniah, tetapi bukan semuanya tergolong dalam 12 khalifah yang disebutkan oleh Nabi SAW.
Kuliah Oxford – Sampaikah Amalan Yang Disedekahkan Kepada Arwah? – Siri Akhir  (m.s. 28)
Kita telah tiba pada akhir perbincangan yang berhubung kait dengan permasalahan ini dan tidakkah menyedihkan jika mereka yang tidak mengetahui, tidak berupaya pula meletakkan kepercayaan kepada seorang  faqih yang masih hidup?

Aku & al-Quran – Faham al-Quran Hidup cemerlang. (m.s. 38)
Kebanyakan umat Islam hari ini memahami al-Quran dari segi teori semata-mata tanpa mempraktikkannya apabila mereka meletakkan al-Quran sebagai ‘buku’ ritual keagamaan yang hanya dibaca pada upacara-upacara tertentu sahaja sedangkan al-Quran diturunkan untuk menjadi panduan bagi golongan muttaqin iaitu golongan yang bertakwa.

Roger Ustaz Raja – Adakah Doa Boleh Mengubah Takdir? (m.s. 51)
Doa itu adalah suatu ibadah dan doa juga sebagai sebab untuk kita mendapatkan sesuatu, berdasarkan sunatullah. Sebagaimana seseorang itu lapar dan inginkan makanan, maka pekerjaan harian ialah sebab untuk dia mendapatkan makanan dan makanan adalah sebab untuk dia kenyang. Maka, doa juga adalah sebahagian daripada melakukan sebab untuk mendapatkan sesuatu di samping ibadah kepada Allah SWT.

Halaqah Faraid – Berkahwin Lain – Berhakkah Warisi Harta Arwah Isteri? (m.s. 54)
Barang kemas adalah pakaian si mati semasa hayatnya dan tidak perlu dikeluarkan zakat. Ini bermakna si mati pada masa hayatnya tidak wajib ke atasnya membayar zakat emas. Apabila berlaku kematian, barang kemas itu bukan lagi kepunyaan si mati, tetapi ia adalah kepunyaan waris yang berhak. Ikuti kupasan penyelesaian kepada permasalahan ini.

Celak Mata – Siapakah Harut & Marut? (m.s. 64)
Harut dan Marut itu sebenarnya apa? Ada yang mengatakannya malaikat dan ada pula yang mengatakannya tukang sihir. Kisah dan penyebutan nama Harut Marut dalam al-Quran, hanya disebutkan satu kali iaitu dalam surah al-Baqarah ayat 102. Bahkan, penyebutan kisahnya pun sangat pendek, tidak panjang, juga tidak menyeluruh.

Mutiara Kitab Hikam –  Bahaya Waham Pada Akal dan Hati (m.s 68)
Ibnu Ata’illah mendedahkan bahaya waham dan waham menurut beliau ialah satu faktor penting yang mendorong manusia menjadi sesat dan dilanda oleh berbagai-bagai kesalahan yang bertimpa-timpa.

Halaqah Suluhan Ibadah – Qunut Solat Subuh – Sunnah atau Bidaah? (m.s 74)
Persoalan membaca doa qunut pada rakaat kedua solat Subuh sudah dijelaskan para ulama seawal timbulnya mazhab. Walau bagaimanapun, masih kedapatan suara-suara yang mengatakan ia bukan perbuatan Nabi, justeru sesiapa yang melakukannya disifatkan sebagai melakukan perkara bidaah (dhalalah). Tulisan kali ini mengajak pembaca menyelurusi pendapat tahqiq (yang benar) dalam mazhab dan perbincangan ulama.

Soal Jawab Bersama Syeikh Nuruddin –  Tanah Ini Milik Siapa? (m.s. 79)
Bagaimanakah agihan pembahagian bagi perkongsian tanah oleh tiga orang lalu seorang daripada mereka meninggal dunia? Bolehkah diwariskan dengan dua orang yang masih hidup?

Perspektif – Puasa Daripada Perspektif Sains dan Kesihatan. (m.s. 81)
Hubungan antara puasa dengan kesihatan dan sains juga dapat dilihat dari aspek manfaat atau hikmah. Ini bererti puasa sebagai suatu ibadah, turut memiliki hikmah atau manfaat duniawi; dan dalam hal ini dari sudut kesihatan. Penelitian ini tidak bermaksud untuk melencongkan niat ibadah tetapi untuk memahami kebesaran Allah melalui ibadah berpuasa. Setidaknya hasil-hasil penelitian ini dapat menambahkan lagi keghairahan untuk terus berpuasa.

Halaqah Firman –  Apa Beza Kalimah (نكر) dan (منكر) dalam al-Quran? (m.s. 86)
Terdapat dua kalimah atau perkataan yang hampir sama huruf dan asal perkataan dalam al-Quran iaitu kalimah (نُكْر) dan (مُنْكَر). Orang-orang kafir hanya melihat kehidupan berdasarkan apa yang jelas terpampang di hadapan mereka. Hakikat sebenar di sebalik kehidupan tidak pernah terlintas di hati mereka.

Fiqh an-Nissa’- Siapa Wali Nikah Anak Belum Baligh?  (m.s. 89)  
Tanggungjawab wali amat besar dan penting. Wali mestilah melindungi anak-anaknya daripada perkara-perkara yang memudaratkan, mendidik dan memberi nafkah dengan penuh kasih sayang.

Jalan Tengah – Bolehkah Membaca Mushaf  Ketika Solat? (m.s. 97)
Sayidatina Aisyah r.ha pernah melantik hambanya Zakwan menjadi imam dan Zakwan menggunakan mushaf ketika solat. Persoalannya, adakah boleh membaca al-Quran ketika solat dengan melihat mushaf atau dengan melihat ayat-ayat tersebut?

Halaqah Tasawuf – Zikir Tarekat Jadi Wajib?  (m.s. 97)
Syeikh tarekat umpama seorang guru sekolah yang mewajibkan anak muridnya membuat kerja-kerja sekolah di rumah.  Kenapa diwajibkan?

Misteri Alam Jin – Bagaimana Tangani Anak Yang Diganggu Jin? (m.s. 101)
Sangat dianjurkan bagi setiap pasangan sebelum melakukan hubungan intim, sebaiknya didahului dengan mengambil wuduk, berdoa serta menutupi tubuh mereka dengan selimut. Sekiranya ia terlupa untuk berdoa maka jin akan ikut serta dalam hubungan intim itu dan anak yang terhasil daripadanya mudah diganggu oleh makhluk ini. Sementara kanak-kanak yang mampu melihat jin bukanlah suatu keistimewaan malah ia suatu kekurangan atau kelemahan.

Tweet Dr. Asmadi – Panduan Berniaga Melalui Internet.  (m.s. 109)
Hari ini begitu banyak laman web yang mengendalikan perniagaan di alam maya. Berniaga itu sangat digalakkan tetapi perlu kenali bentuk ijab dan qabul melalui internet yang diiktiraf oleh syarak.