Tuesday, March 19, 2013

Rasulullah The X Factor


Segala puji dirafakkan kepada Allah. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan izin Allah. Pantas sungguh masa berlalu, sedar tidak sedar genap setahun majalah Q&A bergelanggang di tengah masyarakat. Rasanya seperti baru sahaja lagi mendengar bisikan daripada seorang tuan guru pada majlis pelancaran
majalah ini setahun yang lalu,

“Berjalanlah di atas keberkatan Allah.” Misi menjernihkan hati ini bersama dokongan para ilmuan dan pakar di bidang tertentu menerusi kolum-kolum yang tersedia. Tidak ketinggalan hempas-pulas team editorial dan para artis menyusun atur bagi memeriahkan persembahannya. Semangat datang dari segenap sudut beserta doa ikhlas daripada sahabatsahabat yang soleh. Paduan dan gabungan yang terdapat di dalam majalah Q&A ini bertujuan menyajikan masyarakat; hidangan ilmu, tarbiah dan motivasi yang bermutu. Ia diharapkan dapat merungkai persoalan dan memperbetulkan amalan. Perbahasan yang diutarakan dalam setiap barisbarisnya adalah berpaksi dan berpegang kepada tradisi ulama muktabar agar masyarakat dapat mencerna sesuatu yang benar dari sumber sahih; al- Quran dan as-Sunnah (Q&A).

Persembahannya dimudahkan dalam cara santai dalam bentuk soal dan jawab (Q&A). Sokongan berterusan daripada para pembaca yang dahagakan ilmu menjadi inspirasi kami dalam menyediakan yang terbaik.
Tunjuk ajar dan teguran amat diperlukan demi mengangkat ilmu dan tarbiah ke kedudukan yang tinggi, sesuai dengan fi rman Allah : “Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di kalangan kamu dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat.” (Al-Mujadalah 58: 11) Majalah Q&A bukan sekadar memberikan ilmu, fokus lebih utama memberi tarbiah.

Tarbiah adalah proses didikan menyentuh hati. Hanya dengan tarbiah sesuatu ilmu tersebut dapat diaplikasikan dalam diri dan kehidupan seseorang. Imam at-Thabari berkata, “Allah mengangkat kedudukan orang yang berilmu di hadapan orang beriman yang tidak berilmu kerana keutamaan ilmu mereka (jika mereka mengamalkan ilmu tersebut).”

Pada keluaran kali ini kita lebih bersyukur kerana persoalan yang dikemukakan adalah berkaitan faktor keecemerlangan umat terdahulu; para Sahabat dan tabi’in. Ada satu faktor penentu kecemerlangan yang sering dilupakan oleh umat akhir zaman. Imam Malik berpesan, “Tidaklah baik umat akhir ini melainkan
dengan apa yang telah menjadi baik pada awal umat ini.”

Apakah ‘faktor X’ tersebut? Jawapannya adalah faktor Rasulullah . Umat terdahulu cemerlang kerana mereka mengenali, menyayangi dan merindui; mereka benar-benar pedulikan Rasulullah . Baginda diletakkan pada kedudukan yang betul maka mudahlah untuk dicontohi. Itulah resipi kecemerlangan yang kita perlu ‘copy and paste’. Mari bersama membuka mata hati untuk melihat faktor tersebut. Kecemerlangan tamaduan Islam bahkan kesempurnaan iman kita ada di dalam membicarakan tentang fi gura kekasih Allah ini. Telah terbitlah bulan purnama
… Cahayanya menerangi kami…

Tuesday, March 12, 2013

Q&A Bil. 16: Awas Dajjal Sudah Lahir!



Isu 1 - Dunia Sudah Tua (m.s. 11)
Berlakunya peristiwa kiamat adalah keyakinan sejagat. Dahulu masa memasuki milenia baru semua orang begitu panik sehingga menganggap akan berlaku impak Y2K yang akan mencetuskan kiamat. Terbaharu ramalan kalendar kaum Maya dijadikan sandaran, meramalkan dunia akan kiamat pada tahun 2012.

Isu 2 - Siapa Dajjal? Awas Tenteranya (m.s. 12)
Perkhabaran tentang Dajjal tidak terkandung di dalam al-Quran tetapi ia terkandung di dalam hadis mutawatir maknawi. Ertinya Rasulullah SAW menyebutkan tentangnya dalam jumlah yang banyak dan ramai daripada kalangan Sahabat Rasulullah yang menghafaz hadis tentang Dajjal ini. Apa dia sifat-sifat tentera Dajjal dan cara melindungi daripadanya?

Isu 3 - Fitnah Dajjal (m.s. 15)
Fitnah Dajjal adalah kemuncak segala kejahatan sebelum dunia di kiamatkan oleh Allah. Ia sebagai ujian kepada golongan beriman. Tidak ada ujian lain yang menyamainya apatah lagi mengatasinya. Bagaimana keadaan sebelum, semasa dan selepas kedatangan Dajjal?

Bicara Mufti – Misi Perpaduan Yang Mustahil (m.s. 4)
Dalam perbincangan kali ini, kita akan lihat beberapa gerakan dan individu yang terlibat dalam misi-misi perpaduan antara Ahli Sunnah wal-Jamaah dan Syiah sepanjang zaman. Sejarah menunjukkan bahawa perpaduan pernah berlaku antara Ahli Sunnah dan Syiah pada kurun kelima hijrah selepas berlakunya konflik yang hebat antara kedua-dua pihak di Baghdad bermula tahun 338 H.

Aku & al-Quran - Sinergi (m.s. 7)
Memahami apa yang dikatakan sinergi, bagaimana menghasilkan sinergi dalam diri seorang muslim dan apa kaitan antara sinergi dengan al-Quran.
Hadis Akhir Zaman - Dunia Dikuasai Muhammad bin Abdullah (m.s. 19)
Hadis kali ini menerangkan kepada kita bahawa dunia ini tidak akan kiamat sehinggalah bangsa Arab dan juga bangsa ‘Ajam dikuasai oleh seorang lelaki keturunan Rasulullah iaitu Imam Mahdi. Namanya seperti nama Rasulullah SAW. Beliau akan melaksanakan keadilan di atas permukaan bumi ini dan akan diikuti oleh seluruh kaum Muslimin.

Kuliah Oxford – Sampaikah Amalan Yang Disedekahkan Kepada Arwah? - Siri2 (m.s. 22)
Ramai orang keliru tentang hukum memberi sedekah pahala kepada arwah kerana tidak memahami ayat al-quran yang berbunyi,“Bahawa sesungguhnya manusia tidak akan mendapat apa-apa melainkan apa yang diusahakannya.” Bagaimana para ilmuan Islam memahami ayat ini dengan baik mengikut kaedah nahu Arab bukannya secara literal sahaja?

Paradigma – Benarkah Ahli Sufi ‘Tidak Mahu Masuk Syurga’? (m.s. 31)
Ada pendapat yang mengatakan golongan sufi atau sesiapa sahaja yang mengucapkan bait-bait qasidah yang mempunyai makna ‘…Aku tidak layak masuk ke syurga-Mu…’, tidak mahu masuk ke syurga, malah mengatakan ia adalah suatu ucapan yang khurafat dan sesat. Ini adalah tuduhan yang berat dan ia adalah suatu kekeliruan yang nyata dalam memahami makna dan roh ucapan tersebut.

Mimbar – Rahsia Allah (m.s. 33)
Ada kalanya Allah SWT memberikan sir (rahsia), pangkat dan rahmat ke atas seseorang dan tidak kepada orang lain. Kita tidak tahu, mungkin orang yang kita ingat jahil atau tidak betul itu Allah telah berikan padanya pangkat yang besar.

Halaqah Tauhid – Sifat Iradah (Kehendak/Pekehendak) (m.s. 47)
Antara sifat-sifat ma’ani bagi Allah SWT adalah sifat iradah (kehendak). Halaqah ini membincangkan tentang apakah huraian bagi sifat iradah (kehendak)? Ia juga membincangkan bagaimana dalil dan lawan bagi sifat tersebut?

Selebriti Tanya – Jamak & Qasar (m.s. 63)
Ruangan baru menampilkan beberapa orang artis yang bertanya tentang kemusykilan mereka dalam masalah agama. Ada segelintir masyarakat mengatakan boleh dijamak qasar sepanjang tempoh musafir tak kira berapa lama tempohnya. Benarkah ada pendapat sedemikian?

Mutiara Kitab Hikam – Hubungan Golongan Arif Billah Dengan Allah (m.s 65)
Allah memerintahkan anda ketika hidup di dunia (untuk mengenal-Nya sebenar-benar kenal) dengan cara memandang ayat-ayat-Nya (dengan pandangan hati) ke dalam semua kejadian-Nya. Maksud pandangan mata hati atau roh ini  adalah menerusi jalan fana’.

Anjung Al-Atrak – Sesuatu Tentang Umar Al- Khatab Yang Perlu Dijaga! (m.s. 67)
Huraian Kitab Nur al-Dzolam Syarah Manzumah Aqidatil Awwam terhadap satu kisah menarik yang berlaku antara Sayidina Umar bin al-Khattab r.a. yang berkahwin dengan Sayidatina Ummu Kultsum r.a. binti Sayidina Ali k.w.j. Cerita sebegini jika tidak diceritakan dan disampaikan dengan cara yang benar, tentulah pembaca akan menyampaikan dengan cara yang tidak betul. Malah bimbang akan berlaku kurang adab dengan Sahabat Baginda SAW yang sangat agung ini.

Halaqah Suluhan Ibadah – Tasyahud Akhir; Menggerak atau Mengerak-gerak? (m.s 70)
Menggerakkan jari telunjuk ketika membaca tasyahud atau tahiyat adalah persoalan ibadah. Justeru, ia hendaklah dilakukan dengan kefahaman yang benar seperti yang dijelaskan dalam mazhab, bukan hanya ‘mengikut’ kefahaman sendiri atau mengikut perbuatan orang lain tanpa ilmu.

Soal Jawab Bersama Syeikh Nuruddin – Binatang Peliharaan Memakan Tanaman Orang Lain (m.s. 74)
Adakah tuan punya binatang perlu membayar ganti rugi? Apa kaedah yang digunakan oleh ulama Islam dalam menyelesaikan masalah sebegini? Dapatkan huraian yang mudah tapi menarik daripada ulama-ulama yang muktabar.

Perspektif – Soal Jawab Solat Jenazah (m.s. 77)
Dalam Mazhab asy-Syafi‘i, solat jenazah hukumnya wajib fardu kifayah. Namun masih ramai yang belum memahami perkara-perkara berhubung solat jenazah ini.  Perlukah disolatkan ke atas mayat yang bercerai anggota tubuh, janin, atau tangan yang dipotong akibat hudud dan qisas?
Aku & Hadis - Amal Surah al-Waqiah Terhindar Kepapaan? (m.s. 78)
Terdapat sebuah hadis popular yang menyatakan kelebihan surah al-Waqiah iaitu dijauhkan daripada kepapaan bagi sesiapa yang mengamalkannya. Apakah hadis ini bertaraf sahih? Bagaimana hukum mengamalkan hadis ini?
Alam Akhirat - Azab Buat Pengamal Riba (m.s. 80)
Pernah dengar khabar bahawa di akhirat nanti ada kelompok manusia yang Allah cabar berperang dengan mereka? Siapakah mereka? Mengapa begitu berat sekali ancaman Allah terhadap golongan ini?

Halaqah Firman –  Apabila Dua Hati Menjadi Satu (m.s. 83)
Terdapat beberapa ayat dalam al-Quran yang mana dhamir atau ganti nama bagi dua orang individu yang sepatutnya ditasniahkan atau di‘dua’kan namun Allah SWT hanya menggunakan untuk seorang individu kerana sebab-sebab tertentu menurut pandangan ulama Balaghah dan Mufassirin. Apa yang dimaksudkan dengan penyatuan ganti nama antara ikutan Nabi Harun a.s. dan kecintaan Abu Bakar r.a.?
Fiqh an-Nissa’- Beli Rumah Non-Muslim Perlukah Disamak? (m.s. 85) 
Ustazah merungkai beberapa persoalan berhubung keperluan menyamak rumah yang pernah diduduki oleh non-Muslim. Selain itu, persoalan berkaitan zakat harta yang diwajibkan dengan dua syarat iaitu cukup nisab dan sempurna haul. Jadi, adakah duit hantaran memenuhi kedua-dua syarat tersebut?.
Celak Mata – Waktu Haram Solat (m.s. 87)
Waktu yang diharamkan untuk solat ada lima. Tiga berhubung dengan waktu dan dua berhubung dengan perbuatan. Ikuti huraian menarik daripada Ustaz Azhar Idrus tentang waktu dan perbuatan tersebut dengan lengkap dan terperinci.

Jalan Tengah – Pendirian Islam Terhadap Konsep Ketuhanan Kristian (m.s. 92)
Orang-orang Kristian menyembah tuhan dalam bentuk triniti, di mana tuhan itu bukan Maha Esa seperti kepercayaan orang-orang Islam dan bukan juga berbilang-bilang sebagaimana kepercayaan orang-orang kafir. Mereka bertuhankan tuhan yang satu dalam tiga dan tiga dalam satu. Fahamilah dengan teliti, bagaimana isu kalimah Allah boleh dirungkaikan dengan mempersoalkan konsep triniti yang ada pada mereka

Halaqah Tasawuf –  Jalan Kerohanian Adalah Jalan Mujahadah (m.s. 95)
Jalan Kerohanian adalah jalan yang penuh dengan mujahadah 24 jam 7 hari seminggu tanpa henti. Umpamanya mujahadah dalam melakukan perkara-perkara wajib, menegakkan sunnah muakkadah, makan dan minum melalui rezeki yang halal dan lain-lain. Benarkah ada tarekat yang mengambil pendekatan mujahadah dengan cara menghukum diri seperti berlapar, dahaga dan menolak kesenangan?

Halaqah Muamalat – Praktis Ijarah Dalam Muamalat Semasa (m.s. 105)
Sama-sama kita merungkai persoalan dan konsep yang digunapakai dalam muamalat semasa iaitu ‘ijarah yang berakhir dengan pemilikan’ dan ‘ijarah yang berakhir dengan jualan’.

Twit Dr. Asmadi – Hukum ‘Main Kutu’ (m.s. 107)
Apa hukum ‘main kutu’? Apa konsep muamalah yang digunapakai di dalamnya? Jikalau menepati syariat, mengapa undang-undang Malaysia melarang menjadikan main kutu sebagai satu perniagaan? Bagaimana pula dengan konsep muamalah  dalam Amanah Ikhtiar dan Tekun?]

Taman Ilmu – Syeikhul Hadis Maulana Zakariya Kandahlawi (m.s. 113)
Siapa tokoh Islam yang hebat ini? Bagaimana cara pembelajaran beliau sehingga boleh menjadi tokoh hadis yang disegani? Hadamilah nasihat-nasihat yang diberikan agar kita menjadi seorang penuntut ilmu yang sebenar.

Not Just For Laugh - Juha dan Tamerlane (m.s. 118)
Memaparkan kisah-kisah jenaka Juha yang sedikit sebanyak mempunyai kritikan sosial terhadap kehidupan masyarakat yang ada pada zamannya.


Juha dan Raja Tamerlane

Siapa Tamerlane?

(Tamerlane (1336-14 Februari 1405) dalam kisah di bawah merupakan seorang raja berketurunan Turki yang terkenal pada abad ke-14 sebagai penakluk dan pemerintah yang zalim di Asia Tengah terutamanya di selatan Rusia dan Persia. Tamerlane juga dikenali sebagai Timur atau Timur Lenk yang diterjemah kepada Timur Tempang kerana dia tempang kaki kirinya semenjak lahir)


Juha berada dalam majlis Raja Tamerlane. Ketika itu sedang dibicarakan tentang keadaan di akhirat dan kedahsyatannya. Tamerlane memanggil Juha dan bertanya, "Di mana kedudukan kami di akhirat kelak wahai Juha?"

"Kamu akan bersama para raja, pemimpin dan pembesar yang lain," jawab Juha ringkas.

Tamerlane tersenyum mendengar kata-kata tersebut. Dia merasakan ini satu pujian dan penghargaan untuknya kerana dia sedar bahawa dirinya bukanlah seorang raja yang baik.

Raja Tamerlane bertanya lagi, "Raja-raja yang macam mana yang engkau maksudkan, wahai Juha?"

Kata Juha, "Tentulah raja-raja yang sama hebat dengan kamu seperti Firaun, Namrud dan Halagul Khan (Pemimpin Tartar yang meruntuhkan kerajaan Abbasiah)!"

Moral:


  • Berkatalah benar walaupun pahit. Orang yang hebat adalah mereka yang mampu berkata benar di hadapan pemimpin yang zalim.

Monday, March 11, 2013

Bakal Terbit! Majalah Q&A isu 16


Pelbagai isu menanti anda dalam Majalah Q&A isu terbaharu.
Antara isu menarik dalam Q&A ini adalah :-
- Perlukah samak rumah?
- Bolehkah main kutu?
- Halalkah Bread improver
- Bagaimana urus jenazah yang bercampur bukan Islam?
- Halalkah makan tenggiling?
- Gerak jari ketika tahuyat- - bidaah atau sunnah?
- Bolehkah solat di dalam bas?
- Melontar Jamrah - bolehkah bawa batu balik rumah?
- Kitakah Tentera Dajjal?
- Benarkah ahli sufi 'Tidak Mahu Syurga'?
- Tip Atasi Gugup
- Agenda protokol Yahudi
- Siapa muncul dahulu?
- Iktibar daripada kucing.

Selain topik-topik di atas, pelbagai lagi persoalan yang diperbincangkan dalam Majalah Q&A. Nantikan jawapan-jawapannya daripada kolumnis-kolumnis Majalah Q&A isu 16.

Saturday, March 9, 2013

Pemergian Allahyarham Ustaz Rujhan M Razali. (Kolumnis Majalah Q&A)

Perginya seorang hamba Allah yang pernah berbakti kepada syarikat ini iaitu Ustaz Rujhan M Razali. Beliau merupakan adik Ustaz Zul Ramli Hj M.Razali (Editor Eksekutif Majalah Q&A) telah menemui pencipta-Nya pada pagi Jumaat yang mulia. Salam takziah kepada keluarga Allahyarham Ustaz Rujhan. Pemergiannya amat dirasai. Semoga Allah mencucui rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

Allahyarham merupakan sebahagian kolumnis Majalah Q&A terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd sebagai seorang Ustaz dan motivator.Ini kata0kata hikmah yang pernah beliau kongsikan kepada pendengarnya.

" Kalau tak dapat yang kita suka,
Sukalah apa yang kita dapat"
"Jangan sedih jika diri tidak dihargai
Tapi menangislah jika diri tidak berharga lagi"

"Hidup ini terlalu singkat,
Ia menjadi bertambah singkat.
Bila kita banyak membuang masa"

"Hidup ini terlalu singkat 
Ia menjadi bertambah singkat .
bila kita banyak membuang masa"

"Hidup ini terllau singkat,
Malang jika kita penuhkan 
Dengan sengketa dan airmata"

"Hidup tidak terlalu indah,
Kerana disitu terletak 
Indahnya kehidupan"


Marilah sama-sama kita tatapu dan hayati buah tangan terakhir Allahyarham kepada kita dalam Majalah Anis April 2013, ruangan Kata dan Makna' " Kejayaan adalah kegagalan yang diterbalikkan," dan Majalah Q&A isu 16, ruangan Terapi Hati : 'Mengurus Masa'- seorang mukmin itu ialah mereka yang agenda hidupnya sangat bermakna. Setiap detik akan dimanfaatkan untuk kebaikkan.

Moga-moga kita mendapat manfaat daripada pesanan terakhirnya ini dan amal jariah Allahyarham ini  akan berkekalan selama-lamanya dan dibalas oleh Allah SWT dengan sebaik-baik balasan.