Thursday, October 4, 2012

Q&A Bil 10 : Jagalah Allah, Allah Akan Menjagamu

Kandungan Menarik QnA Bil 10

ISU Jagalah Allah, Allah akan menjagamu. 
Apabila mendahulukan hak Allah, benarlah pengakuan kita seperti yang diucap dalam doa iftitah setiap kali kita solat, “Sesungguhnya solatku,  korbanku (nusuki), hidupku dan matiku adalah bagi Allah Tuhan seru sekelian alam.” Bagaimana mungkin kita solat dan mendekat diri dengan Allah sedangkan hati gersang daripada penyerahan total kepada Allah.

Kesemua itu akhirnya akan melahirkan penyerahan yang membuahkan keikhlasan, sehingga bukan hanya pada skop ibadah sahaja kita berserah kepada Allah, hinggakan kepada hidup dan mati kita serahkan kepada-Nya, inilah penyerahan tertinggi yang kita dambakan dalam hidup yang sangat sementara di dunia ini. Sebagai contoh, Allah telah menguji keteguhan tawakal Nabi Ibrahim a.s. dengan didatangkan kepadanya mimpi agar menyembelih anaknya yang baru berusia 13 tahun.

ISU- Soal Jawab Korban 
Satu ruangan yang menjawab dengan lengkap berhubung pengertian, dalil, waktu serta syarat-syarat sah binatang korban. Turut dimuatkan juga pelbagai persoalan lazim mengenai ibadah korban seperti cara pembahagian daging korban, hukum bercukur dan memotong kuku bagi orang yang ingin berkorban, perkara-perkara sunat dan perkara yang dilarang ketika korban.

ISU Jom Korban  
Pada waktu-waktu yang lain sekiranya kita menyembelih dan mengagihkan daging, ia hanya dianggap sebagai sedekah tetapi di dalam empat hari yang tertentu iaitu 10,11,12, dan 13 Zulhijjah ia disebut sebagai ibadah korban. Roh dan falsafah antara kedua-duanya berbeza. Di dalam hadis, banyak galakan bagi umat Rasulullah agar turut serta terlibat dalam ibadah ini. Antaranya sesiapa yang berkorban dan diampunkan Allah, mendapat kebaikan sebanyak bulu binatang yang dikorbankan, kedudukan yang mulia, mendapat tunggangan ketika meniti titian sirat, mendapatr husnul khatimah dan lain-lain.

HALAQAH TASAWUF -  Tarekat; Musuh atau Sahabat. 
Sejak akhir-akhir ini, ada segelintir para asatizah yang membawa fahaman pembaharuan dan memusuhi tasawuf dan tarekat.  Kononnya ia sebagai bidaah, sesat dan sebagainya. Tarekat adalah seumpama sekolah bagi melatih dan mendisiplinkan seseorang, membersihkan jiwanya agar terhakis sifat-sifat mazmumah dan menghiasinya dengan sifat-sifat mahmudah.

Tuduhan tarekat membawa umat Islam menyimpang daripada ajaran Islam  adalah tidak benar sama sekali. Ia dilemparkan oleh musuh-musuh Islam dan musuh kepada ajaran tasawuf yang kononnya berhasrat  membersihkan ajaran Islam daripada ‘kekotoran’ dengan melakukan ‘tajdid’. Perlu diingatkan bahawa pengikut tarekat samalah juga seperti pengikut kumpulan-kumpulan lain, ada yang benar dan ada yang sesat. Hatta orang Islam sendiri pun  ada yang benar-benar mengamalkan Islam dan ada juga yang syirik, melampau, pengganas dan seumpamanya.

SYEIKH NURUDDIN MENJAWABSaf Wanita: Afdal Di Depan Atau Belakang?
Soal jawab mengenai permasalahan solat yang sering berlaku dalam masyarakat seperti Apakah ada tirai pemisah di antara jemaah lelaki dengan jemaah perempuan pada zaman Nabi SAW? Jika ada tirai, apakah perempuan afdal berada di saf yang paling hadapan?Apakah hukum solat seseorang yang kemaluannya bergerak tiga kali? Ketika solat tahajud, adakah wajib berniat menjadi imam (bagi imam) dan menjadi makmum (bagi makmum)? Manakah afdal antara mengerjakan tahajud di rumah atau di masjid?Adakah saf solat terputus untuk masjid dua tingkat? Yang manakah afdal antara solat pada awal waktu tetapi bersendirian dengan solat pada akhir waktu tetapi berjemaah? Serta pelbagai lagi persoalan yang menarik dan bermanfaat.

MIMBAR - Al-Fatihah Pembuka Seribu Rahsia.
Tidak ada surah dalam al-Quran yang diperintahkan Allah untuk diulangi bacaannya lebih banyak daripada surah al-Fatihah. Hampir semua umat Islam bermula zaman Nabi Muhammad SAW sehingga sekarang menghafalnya. Ia merupakan surah pertama yang diturunkan sepenuhnya sekaligus. Sebelum ini, semua surah diturunkan ayat demi ayat. Al-Fatihah juga diperintahkan untuk dibaca pada setiap rakaat solat. Mengapa demikian? Pasti ada barakah dan rahsia di sebaliknya.

SIHAT AFIAT  - Menjaga Kesihatan Melalui Perut. 
Perut adalah ibu atau sarang kepada penyakit sehingga menjaga kesihatan perut dianggap menjaga kesihatan badan. Telusurilah sunnah pemakanan Nabi SAW. Sebelum makan, Baginda mengambil sedikit garam dengan jari kelingking atau jari telunjuk sebelah kanannya. Rasulullah SAW mengunyah sebanyak 44 kali tetapi selalunya kunyahan Baginda tidak sampai 40 kali.
Prof. Edwin Nasution, pakar gastroenterologis (penghadaman) telah memeluk Islam setelah seminggu mencuba cara pemakanan Rasulullah SAW. Beliau mendapati penyakit sembelitnya berkurangan dengan begitu mendadak.  Selama ini beliau mengidap penyakit sembelit selama 10 tahun dan tidak menemui penyelesaiannya.

PARADIGMA - Amalan Penziarah Kubur 
Antara kebiasaan orang yang menziarahi kubur sanak saudara yang telah meninggal dunia adalah menabur bunga, menjirus air, meletakkan batu kerikil dan mencacak bunga di atas kubur. Ada yang mendakwa ia adalah perbuatan bidaah dhalalah. Apakah benar dakwaan ini?

Hakikatnya semua yang dilakukan di atas adalah dibolehkan serta ada sandarannya dalam Islam. Para ulama teliti meneliti hadis-hadis yang berkaitan dengan begitu berhati-hati sebelum mengistinbathkan hukum agar umat tidak berada di dalam kesesatan.Untuk mendapat panduan yang benar dan tahkik, orang awam hendaklah menyerahkan urusan agama yang melibatkan hukum kepada orang yang ahli dalam bidangnya (faqih).

AKU DAN HADIS - Benarkah Hadis Sayidina Ali Pintu Kota Ilmu? 
Terdapat sebuah hadis yang menceritakan keluasan ilmu Sayidina Ali karamallahu wajhah yang berbunyi: “Aku adalah kota ilmu dan Ali adalah pintunya.” Ada yang menyebut hadis ini adalah palsu. Benarkah begitu? Ia adalah hadis yang diperselisihkan martabatnya oleh para ulama hadis. Ada yang mengatakan ia sahih, hasan, dhaif dan maudu’ (palsu). Jadi, adalah tidak jujur jika kita menghukumkannya sebagai maudu’ (palsu) hanya dengan membawa pandangan mereka yang mengatakannya demikian, tanpa membawa pandangan mereka yang mengatakan sebaliknya.

TAMAN ILMUSyeikh Zainul Asri, Da’i Yang Murabbi, Mudir Pusat Pengajian Darul Hadis, Yayasan Paksi
Kitab: Riadus Solihin dan al-Azkar Imam an-Nawawi.
Pesanannya ketika ditemui di Ijtimak Pondok Nusantara: “Kadang-kadang kita selalu sebut orang ini hebat, orang ini alim. Alim ini memerlukan satu proses masa yang lama. Ketika mengaji, seseorang tu biasa-biasa sahaja. Kita akan menjadi benar-benar alim apabila mengajar.”