Monday, September 10, 2012

Q&A Bil 9 : Istiqamah Mendaki Kecemerlangan

Kandungan Menarik 

AKU & AL-QURAN - Masalah Yang ‘Dinikmati’ 
Apakah tujuan kita hidup di dunia ini? Kehidupan adalah pemberian Allah kepada kita. Maka dia ingin menguji kita. Dia mendatangkan masalah kepada kita. Masalah itu datang dalam bentuk adalah ujian. Bila kita menyedari hakikat sebenar masalah atau ujian itu, kita akan hadapinya dengan tenang. Selama ini kita melihat masalah yang datang kepada kita akan kita hadapi dengan kekuatan diri kita sendiri. Kita terlalu bergantung pada usaha kita semata-mata untuk selesaikannya. Bukalah mata hati kita untuk melihat bahawa masalah itu datang daripada Allah SWT dan daripada Allah jualah kaedah dan jalan penyelesaiannya.


BICARA MUFTI - Pandangan Syiah Terhadap Sahabat Rasulullah 
Syiah begitu kuat memegang kepada dakwaan bahawa para Sahabat telah membelakangkan nas dengan melakukan syura di saqifah Bani Saadah dan memilih Abu Bakar sebagai khalifah dan bukannya Sayidina Ali. Mereka mengkafirkan Khulafa ar-Rasyidin dan para Sahabat, memaki dan melaknat mereka.Asas agama Syiah adalah membersihkan diri daripada musuh-musuh Ahlul Bait dan dengan  melaknat para Sahabat khususnya Sayidina Abu Bakar dan Umar dianggap suatu ibadah yang besar. Syiah begitu benci pada Sahabat terutama Abu Bakar dan Umar. Ini dapat dilihat dalam tulisan serta nas-nas para ulama Syiah.

Ini bertentangan dengan ijmak Ahlus Sunnah wal Jamaah kerana ayat-ayat Quran dan hadis yang banyak memuji dan menyatakan keredhaan Allah Taala terhadap para Sahabat. Kepercayaan ini adalah sangat penting kerana ia berkait langsung dengan kepercayaan kepada al-Quran dan as-Sunnah. Para Sahabat r.a. adalah saksi-saksi utama kepada kebenaran Quran dan sunnah. Membatalkan kepercayaan terhadap saksi, bermakna dan bertujuan membatalkan kepercayaan terhadap yang disaksikan.

  
HALAL & HARAM - Produk Surimi- Bercampur Plasma Darah 
Produk surimi merupakan makanan tiruan berasaskan ikan, sotong, udang dan ketam yang kini terkenal dan digemari oleh masyarakat Melayu. Surimi dihasilkan daripada isi ikan yang dinyahtulang. Oleh kerana mutunya dari sudut tekstur yang rendah dan lemah, isi ikan tersebut tidak mampu untuk mengental dan menganjal. Bagi mengatasi masalah ini, pengeluar atau pengilang akan mencampurkannya dengan bahan pengental seperti serbuk protein plasma darah.Plasma darah dimana bahagian cecair sebahagian daripada darah yang tidak berwarna digunakan. 

Kegunaannya dalam produk ini adalah sebagai pengemulsi yang baik, rendah likat serta kemampuan membentuk gel-gel yang kuat. Ia juga anjal serta dapat mengekal dan memperbaiki ciri-ciri tersebut yang pastinya sangat digemari pengguna. Bahkan ia juga boleh menambah tekstur pada daging dan ikan. Persoalan yang harus diberi penekanan adalah penggunaannya sebagai salah satu ramuan boleh menimbulkan masalah kepada pengguna Muslim kerana darah adalah haram di sisi Islam terutama jika digunakan dalam makanan. Elakkan produk makanan yang syubhah dan haram.

DRAMA & IKTIBAR - Lambungan Maut “Hole Short” 
Abdullah Abdul Rani, 50 tidur pada malam itu tanpa memikirkan sangat pertandingan yang akan disertainya keesokan harinya. Perlumbaan kali ini adalah di Pantai Klebang, Melaka. Pada waktu itu dia mula didatangi perasaan kurang yakin. Itulah pertama kali dia berasa semangatnya untuk berlumba menurun sejak dia bergiat aktif dalam sukan jet ski pada 1996. Atas pujukan rakan, Abdullah akhirnya menyatakan persetujuan. Padahal hatinya tidak sepenuhnya berminat. Dia pergi semata-mata kerana mahu meraikan permintaan kawan.

SOAL JAWAB BERSAMA SYEIKH NURUDDIN - Adakah Bawah Dagu Wanita Dikira Aurat? 
Soal jawab mengenai hukum-hukum berkaitan wanita seperti aurat muka yang sebenar, hukum memakai tudung sehingga menampakkan sanggul, hukum berhias dan bersolek, hukum wanita tidur bersama dan lain-lain dan hukum membuka tudung ketika bekerja sekiranya dipaksa majikan. Bagi hukum menutup dagu ketika bertudung, apa yang dilakukan oleh Muslimat sekarang dengan menutup sebahagian dagu adalah ihtiyath (berhati-hati) kerana ada pendapat yang mewajibkan menutupnya.

SENYUM PAGI -  Powernya Doa Suami 
Membincangkan tentang kewajiban seorang isteri meminta izin suami apabila keluar rumah. Diterangkan juga apa yang digalakkan kepada isteri seperti mencium tangan suami, memaklumkan ketibaan di tempat kerja dan perkara yang lain serta meminta doa daripada suami.Walaupun perbuatan ini nampak mudah dan ringkas tetapi ia mengandungi manfaat yang sangat besar dalam mencari keberkatan dan menjaga keharmonian rumahtangga. Dengan redha seorang suami, isteri boleh mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah dan dimudahkan jugaurusan seharian seperti jikalau meminta izin membeli belah, dimudahkan urusan parkir,mendapat barangan yang murah dan lain-lain lagi.

JALAN TENGAH - Falsafah Sekularisme dan Sifat Yang Sekular
Masih ramai yang keliru dengan pengertian istilah sekularisme yang sebenar. Artikel ini mengulas perbezaan antara sekularisme dan perkara yang sekular. Sekularisme adalah satu falsafah dan ideologi yang membawa kepada kekufuran kerana ia berupa kefahaman yang memisahkan secara total antara kehidupan dengan agama. Manakala perkara yang sekular pula ada yang positif dan ada yang negatif, ada yang tidak terlarang dan ada yang terlarang.

Kemudian diterangkan pula sejauh mana pengaruh sekularisme kepada masyarakat timur. Hanya negara Turki yang menerima secara total sekularisme selepas penghapusan Kerajaan Turki Uthmaniyah.Sekularisme Turki yang menghapuskan khilafah Uthmaniyah mengharamkan sekolah-sekolah agama, pakaian hijab, bahkan tudung kepala wanita pun tidak dibenarkan,undang-undang Syarak, pakaian yang menunjukkan ulama seperti jubah, serban dan tarbus, tarikat-tarikat sufiah, bahkan ulama pun. Azan digantikan dengan bahasa Truki, dan sembahyang pun diperintah supaya berlaku dalam Bahasa Turki, dan huruf Arab dihapuskan digantikan dengan huruf Latin.